searching for my own meaning of life

Posts tagged ‘Hartanah’

Rumah Pertama 2.0

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu`alaikum and greetings to all…

Perkongsian kali ini adalah kesinambungan daripada Rumah Pertama yang aku beli iaitu sebuah apartment. Apabila rumah kita telah siap dibina dan diluluskan oleh pihak perbandaran (Bintulu Development Authority), pihak pemaju akan memaklumkan bahawa permit untuk menduduki rumah tersebut (Occupational Permit) telah dikeluarkan. Pemaju akan menyerahkan 2 set kunci rumah terlebih dahulu, manakala 1 set kunci akan disimpan di pejabat sehingga tempoh Defect Liability Period (1 tahun 6 bulan) selesai. Pembayaran yang perlu diselesaikan pada masa penyerahan kunci rumah adalah:

  • First year sinking fund
  • Monthly apartment service charge
  • Utility deposit (water meter)

Jangan lupa baca بسم الله الرحمن الرحيم dan memberi salam السلام عليكم ورحمة الله وبركاته sebaik saja membuka pintu rumah. Antara amalan baik yang boleh dilakukan juga adalah melaungkan azan, membaca surah Al-Fatihah, ayat Kursi, 3-Qul dan surah Al-Baqarah. Ini adalah usaha kita untuk melindungi rumah kita daripada gangguan makhluk halus dan rasa hasad dengki manusia.

Pada saat penyerahan kunci rumah, pihak pemaju juga akan menyerahkan satu borang untuk kita nyatakan kerosakan yang terdapat di rumah kita. Pemaju akan bertanggungjawab untuk mengatur segala kerosakan dalam masa 2 minggu. Pastikan semua anak kunci dan tombol pintu utama, pintu dapur, pintu bilik, pintu tandas, dan pintu balkoni berfungsi dengan baik. Permukaan dinding, lantai, siling dan pintu (dalam dan luar rumah) rata dan dicat dengan sekata. Cermin, lantai dan dinding rumah juga bersih tanpa ada bekas cat atau simen.

Jika ada kerosakan atau hasil kerja yang tidak sempurna (rujuk Building Specifications), kita boleh ambil gambar dan hantar kepada pihak pemaju. Pihak pemaju akan menghantar wakil untuk membetulkan kerosakan tersebut. Untuk memudahkan kerja, sebaiknya kita tunjuk sendiri bahagian yang rosak kepada wakil pemaju.

Untuk mendapatkan bekalan elektrik, beberapa dokumen dan bayaran yang perlu disediakan adalah:

  • Lawyer certified true copy of Sale & Purchase Agreement
  • Utility deposit (electric meter)

Pada masa yang sama, surat rasmi yang pertama akan sampai di rumah kita adalah daripada pihak BDA. Pembayaran yang perlu dilakukan adalah untuk:

  • BDA Assessment 1st Quarter
  • BDA Assessment 2nd Quarter

Bagi pemasangan lampu, kipas dan alat penghawa dingin juga memerlukan perbelanjaan ribuan ringgit Malaysia. Setiap tambahan 1 meter wayar yang ditarik akan dikenakan bayaran. 4 kaki pertama alat penghawa dingin adalah percuma dan selebihnya akan dikenakan bayaran.

Sejujurnya, memiliki rumah pertama adalah satu proses yang amat memenatkan. Andai kata aku diberi pilihan untuk memiliki rumah kedua, aku tidak akan membeli rumah yang besar atau rumah 2 tingkat. Cukup satu tingkat dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air.

Semoga Allah SWT memudahkan segala urusan kita semua. Aamiin…

ما شاء الله تبارك الله

Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, bahagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal. Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah darinya.

(Surah Al-Kahf 18:107-108)

Until we meet again.

May peace be upon you.

Rumah Pertama

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu`alaikum and greetings to all…

Kali ini aku akan berkongsi cara-cara untuk membeli rumah pertama. Pertama sekali aku percaya apa sahaja yang kita lakukan haruslah bermula dengan niat yang betul. Diikuti dengan persediaan yang mencukupi baik dari segi ilmu, kewangan dan keberanian untuk membuat keputusan. Penghargaan kepada saudara Afiq Shamnazri dan Azizul Azli Ahmad atas perkongsian ilmu di Muka Buku berkaitan pembelian rumah pertama. Secara umumnya, terdapat 3 fasa yang kita perlu lalui iaitu:

  1. Fasa persediaan
  2. Fasa pembelian
  3. Fasa tukar nama

Fasa Persediaan

Niat aku sebelum usia mencecah 35 tahun, aku mesti membeli rumah pertama. Persoalannya, rumah sendiri atau rumah pelaburan? Langkah pertama yang aku lakukan adalah membeli dan membaca buku tulisan Dr Azizul Azli Ahmad. Banyak ilmu yang aku perolehi dari buku beliau kerana cara penyampaian yang santai dan mudah untuk difahami. Terdapat juga formula untuk mengira harga rumah yang sesuai dengan pendapatan kita.

Memandangkan aku bekerja di Arab Saudi dan aku berada di Malaysia pun hanya sebulan ±3 kali setahun, rumah pertama aku semestinya rumah pelaburan. Maksudnya, rumah itu nanti insya-Allah aku jadikan rumah sewa dan bukan rumah untuk aku tinggal sendiri.

Alhamdulillah, dari segi kelayakan kewangan aku tidak mempunyai banyak masalah kerana setiap pinjaman bank aku tidak pernah culas membayarnya setiap bulan. Setelah yakin aku mempunyai simpanan yang cukup, aku mula menghubungi pemaju hartanah yang boleh dipercayai di Sarawak. Antara soalan yang aku tanya: ciri-ciri rumah (sekurang-kurangnya ada 3 bilik tidur, 2 tandas), harga (budget aku bawah RM500k) dan kawasan perumahan (bukan kawasan banjir, strategik).

Aku tahu ada banyak cara lain untuk mendapatkan rumah yang lebih murah tetapi aku malas hendak serabutkan kepala. Aku terus bertanya kepada agen hartanah apa dokumen yang aku perlu sediakan. Antaranya:

  • Slip gaji 3 bulan
  • Bank statement Arab Saudi 6 bulan
  • Bank statement Malaysia 6 bulan
  • EPF statement
  • Copy IC

Fasa Pembelian

Setelah jumpa beberapa rumah yang berkenan di hati, aku banyak bertanya pendapat ahli keluarga yang sudah mempunyai pengalaman membeli rumah. Agen hartanah akan berkongsi plan gambar rumah dan tahap pembinaan rumah yang sememangnya cantik. Untuk mengelak daripada salah membeli rumah, aku melawat tapak perumahan dan melihat sendiri kedudukan matahari (pagi dan petang) dan arah kiblat.

Booking fee perlu dibayar kepada syarikat pemaju hartanah dan proses selanjutnya akan diuruskan oleh agen hartanah. Pengawai bank yang dilantik oleh pemaju menghubungi aku untuk urusan pinjaman perumahan. Antara dokumen yang diperlukan dan perkara yang ditanya:

  • Slip gaji 6 bulan
  • Saudi credit report a.k.a Bank statement Arab Saudi 6 bulan
  • Working permit a.k.a copy Iqama & Certificate of Employment
  • Status jawatan (tetap/kontrak)
  • Berapa tahun pengalaman bekerja?
  • Statutory Declaration yang menyatakan bahawa aku tiada membuat pinjaman bank di Arab Saudi

Alhamdullillah, dalam masa 2 minggu permohonan pinjaman perumahan aku diluluskan. Setelah tandatangan dokumen dengan pihak bank, pegawai bank tadi akan menghubungi syarikat guaman yang juga dilantik oleh pemaju untuk menyediakan Sales and Purchase Agreement. Dalam masa 3 hari, aku dihubungi oleh peguam untuk tandatangan dokumen yang berkaitan. Di sini, satu lagi proses pembayaran perlu dilaksanakan kepada pihak peguam.

Fasa Tukar Nama

Fasa yang terakhir ini aku belum lalui lagi kerana semua urusan melibatkan peguam. Apa yang aku faham proses ini memang mengambil masa yang lama. Aku boleh menghubungi peguam sebulan sekali untuk bertanya status terkini – periksa rumah – dapat kunci rumah pertama!

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua dan urusan kita untuk mendapatkan rumah pertama dipermudahkan oleh Allah SWT. Aamiin….

Home Sweet Home

Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah (ke jalan Allah) sebahagian dari rezeki yang telah kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual-beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat. Dan orang kafir itulah orang yang zalim.

(Surah Al-Baqarah 2: 254)

Until we meet again.

May peace be upon you.