searching for my own meaning of life

Posts tagged ‘Orthodontic’

Orthodontic Treatment / Rawatan Orthodontik

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamu`alaikum and greetings to all…

After almost 4 years of treatment and follow-up, I am finally can be discharge from the clinic today. All praise to Allah SWT. So, here I will share with you how the story begin and it’s going to be in Bahasa Melayu.

Sejak sekolah rendah sampai masuk matrikulasi, aku masih mempunyai satu gigi susu yang susah sangat untuk tercabut. Mungkin disebabkan itu, gigi kekal masih tertanam di dalam gusi. “Gigi rongak” – gelaran yang sering aku terima. Bunyinya agak lucu bagi orang dewasa tetapi tidak pada aku. Jururawat Pergigian ada membuat pemeriksaan di sekolah dan memberi temujanji untuk membuat gigi palsu (removable denture). Untuk sementara waktu, gigi aku tidak kelihatan rongak. Sehingga semester ke-2 di matrikulasi, aku sudah tidak dapat menggunakan gigi palsu tersebut kerana gigi kekal sudah mula keluar. Aku mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di klinik pergigian kerajaan tetapi malangnya, mereka tidak memberikan rawatan orthodontik selepas umur melebihi 17 tahun.

Sering kali, aku diejek kerana gigi yang rongak. Sedih di hati hanya Allah yang tahu dan aku selitkan dalam doaku “Ya Allah, kurniakan gigi yang sempurna kepadaku”. Apabila aku masuk ke alam universiti, aku berazam untuk mengubah keadaan aku ini. Kebetulan asrama aku berdekatan dengan satu klinik gigi swasta. Pada awal temu janji, doktor gigi itu memberi cadangan iaitu membuat crowning dan bridge. Rawatan ini akan memberi hasil yang cepat iaitu barisan gigi yang teratur dan sempurna. Walau bagaimanapun, ia akan memberi kesan yang buruk kepada gusi pada masa akan datang. Aku membuat keputusan untuk kembali ke asrama dan berfikir terlebih dahulu. Aku kembali untuk kali kedua dan doktor tersebut masih memberi cadangan yang sama, tetapi kali ini dia memberi satu lagi cadangan iaitu rawatan orthodontik. Walau bagaimanapun, dia tidak mempunyai kepakaran dalam rawatan tersebut dan merujuk aku kepada doktor pakar yang lain.

Syukur alhamdulillah, klinik doktor pakar tersebut juga tidak jauh dari tempat pengajian aku. Pada hari pertama aku sampai, doktor pakar tersebut agak sibuk dan tidak sempat menemui aku. Aku hanya datang untuk membuat contoh bentuk gigi dan gusi aku. Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana rasanya seperti menelan tanah liat. Kali kedua aku datang, aku dikehendaki untuk mengisi borang kaji selidik. Salah satu soalannya, adakah aku ingin membuat rawatan ini kerana kecantikan atau keperluan? Jawapan aku sudah tentu keperluan.

Memandangkan keadaan gigi aku agak serius, doktor pakar menjangkakan ia akan mengambil masa selama lebih kurang 3 tahun. Terdapat 3 pilihan kos untuk membuat rawatan orthodontik. Pilihan pertama masih menggunakan teknologi yang lama dan dawai yang digunakan sangat jelas kelihatan bernilai RM10 000. Pilihan kedua menggunakan teknologi yang baru dan dawai yang digunakkan lebih cantik bernilai RM12 000. Pilihan ketiga bernilai RM14 000 kerana terknologi yang baru dan dawai yang digunakan seolah-olah si pemakai tidak menggunakan dawai besi di gigi. Memandangkan aku masih belajar, doktor pakar mencadangkan aku memilih pilihan yang kedua. Banyak klinik gigi swasta menawarkan harga yang lebih murah tetapi doktor gigi tersebut tidak mempunyai kepakaran dalam orthodontik. Di Sarawak cuma ada 4 orang doktor pakar perunding orthodontik: 2 di Kuching, 1 di Sibu dan 1 di Miri.

Bermula dari hari itu, aku mengatur temujanji yang seterusnya iaitu membuat scaling dan menutup (simen) mana-mana gigi yang berpotensi untuk berlubang. Simen yang digunakan berwarna putih bukan kelabu yang biasa digunakan di klinik kerajaan. Diikuti dengan temujanji mencabut gigi-gigi yang lain. Walaupun tidak buruk tetapi perlu dikorbankan untuk rawatan orthodontik nanti. Sedih… rongak lagi. Pengalaman mencabut 3 batang gigi di hadapan tidak menyakitkan jika dibandingkan dengan minor dental surgery yang melibatkan gigi geraham yang berada di hujung sekali (wisdom tooth). Pipi dan gusi akan membengkak dan temu janji seterusnya adalah untuk mencabut jahitan pada gusi. Kos rawatan di atas tidak termasuk dalam RM12 000. Jumlah keseluruhan lebih kurang RM 13 000 tidak termasuk kos pengangkutan ulang-alik setiap kali rawatan. Aku tidak meminta wang dari sesiapa pun termasuk ahli keluarga sendiri. Pelaburan yang aku tanggung sendiri.

Apabila braces telah dipasang, aku diberi pilihan untuk memilih warna doughnut, power chin dan elastic band. Setiap kali minggu berganti bulan, dawai dan aksesori tersebut akan diganti dan diketatkan. Sehingga semua gigi menjadi rapat semula dan proses ini mengambil masa 3 tahun. Antara makanan yang tidak boleh di makan dalam masa 3 tahun ini:

  • Kekacang
  • Burger
  • Chewing gum
  • Gula-gula
  • Air minuman berkarbonat (mesti guna straw kalau nak minum)
  • Bahagian ayam yang mempunyai banyak tulang (cth. kepak ayam)
  • Semua jenis makanan yang keras (mesti potong kecil-kecil kalau nak makan juga)

Selepas makan kenalah berus gigi dalam masa tidak kurang dari 15 minit. Sebabnya sisa makan yang melekat pada besi dan dawai itu menggalakan pembentukan bakteria. Ada 2 jenis berus gigi khusus untuk braces dan ada teknik yang aku tidak dapat ceritakan di sini. Hehehe…

2014-09-03 20.46.15

ORTHO-CARE : Put your removable retainer inside this box.

Proses debonding akan dilakukan selepas gigi berada dalam kedudukan yang diinginkan. Braces akan digantikan dengan bonded retainer dan removable retainer. Bonded retainer akan kekal selama-lamanya melainkan sesuatu terjadi pada gigi aku. Manakala removable retainer pada awalnya perlu digunakan setiap hari kecuali waktu makan. Kemudian, setiap malam sahaja. Bermula dari hari ini, aku hanya perlu memasang removable retainer pada waktu malam seminggu sekali sehingga ke akhir hayat (melainkan sesuatu terjadi). Nasihat aku kepada sesiapa yang ingin menggunakan braces:

  • Tanya diri sendiri adakah braces itu untuk keperluan atau kecantikan?
  • Cari doktor yang pakar dalam rawatan orthodontik kerana gigi anda boleh menjadi jarang, jongang, atau sebaliknya jika tidak ditangani dengan betul.
  • Kalau hendak cantik jangan menyusahkan orang lain. Tetapi kalau duit berkepuk-kepuk teruskan niat anda.
  • Sediakan budget yang cukup dan anggap braces ini sebagai pelaburan untuk jangka masa panjang.
  • Disiplinkan diri dan rajin-rajin berus gigi.
  • Dengar nasihat doktor anda.

Alhamdulillah… satu lagi doa aku telah dimakbulkan oleh Allah SWT. Sungguh benar!

“Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia Mengkehendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya: “Jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu.”

(Surah Yasin 36:82)

Until we meet again.

May peace be upon you.

Advertisements
%d bloggers like this: