searching for my own meaning of life

Posts tagged ‘Beach’

Hatyai-Phuket-Krabi

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

Sudah hampir penghujung tahun 2016, kali ini aku akan menceritakan pengalaman aku dan keluarga bercuti di Thailand pada 26/11/16 hingga 1/12/16. Kami memilih pakej Hatyai-Phuket-Krabi selama 6 hari 5 malam. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM790 seorang. Sebanyak RM200 perlu dibayar secara bank-in kepada agen terlebih dahulu untuk tempahan hotel di Thailand dan selebihnya boleh dibayar secara tunai semasa bertemu dengan pemandu pelancong nanti. Sebelum tarikh penerbangan, aku perlu memperbaharui pasport di Jabatan Imigresen Malaysia. Sedikit nasihat jika anda bertudung, pastikan kain tudung berwarna hitam dan tanggalkan cermin mata ketika gambar diambil oleh pegawai imigresen. Jangan lupa bawa pasport yang lama dan Kad Pengenalan. Bayaran sebanyak RM200 dikenakan untuk tempoh sah pasport 5 tahun. Buku pasport yang baru boleh diambil 1 jam selepas waktu bayaran.

Aku mengambil penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) dari Sarawak-KLIA-Pulau Pinang. Jika kita tidak sempat menukar duit Ringgit Malaysia kepada Thai Baht, jangan risau kerana di KLIA terdapat beberapa kaunter Money Changer. Terpulang kepada kebijaksanaan kita untuk memilih kadar pertukaran yang paling baik. Pada masa itu, 100 Baht bersamaan dengan RM8. Kalau tukar RM500, kita akan mendapat 4000 Baht. Di lapangan terbang Pulau Pinang, aku bertemu dengan ahli keluarga yang lain dan kami semua seramai 11 orang. Seawal jam 4 pagi, kami dijemput oleh pemandu pelancong yang akan membawa kami ke Thailand. Seorang lelaki, Muslim dan warganegara Malaysia. Sebelum itu, kami singgah solat Subuh di Jitra, Kedah.

Jitra Kedah

Alat Tradisional Teratak Warisan Jitra

Kira-kira jam 8 pagi, kami tiba di sempadan Malaysia-Thailand untuk urusan imigresen. Memandangkan musim cuti sekolah telah bermula, bilangan pelancong lebih ramai berbanding dengan hari biasa. Untuk melepasi imigresen Malaysia lebih mudah kerana terdapat kaunter khas untuk warganegara Malaysia. Cuma sediakan buku pasport dan ikut arahan mesin. Urusan imigresen di Danok Thailand lebih sukar kerana barisan yang sangat panjang dan hanya beberapa kaunter dibuka. Nasihat daripada pemandu pelancong kami, jangan membuat apa-apa bayaran kepada pegawai imigresen Thailand jika diminta. Beritahu bayaran telah dibuat dan tunjukkan resit (walaupun aku sebenarnya tidak faham apa yang ditulis kerana tulisan Thailand yang digunakan).

Di Danok, kami berhenti untuk makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke Hatyai. Di sini, masyarakat masih boleh memahami Bahasa Melayu, urusan jual beli boleh menggunakan Ringgit Malaysia dan peluang terakhir untuk menukar duit Baht. Sebaik sahaja memasuki negara Thailand, perbezaan masa juga bertukar di mana masa di Thailand 1 jam lebih lambat berbanding Malaysia. Contohnya, jam 9 pagi Thailand bersamaan dengan jam 10 pagi Malaysia. Untuk memudahkan urusan, tukarlah jam tangan anda kepada waktu Thailand kerana jam di telefon pintar akan bertukar secara automatik.

20161126_084441

Welcome to Thailand

26/11/16@Hatyai  – Percutian sebenar kami bermula dan perkara yang paling menarik dalam pakej ini adalah wifi. Wifi percuma disediakan sepanjang perjalanan. Kedai-kedai makan yang kami singgah juga menyediakan wifi secara percuma dan password ditulis pada bekas tisu atau dinding premis. Pemandu pelancong kami ada 2 orang sebenarnya. Seorang lagi juga lelaki, Muslim dan warganegara Thailand berasal dari Satun. Dia fasih berbahasa Melayu dengan slang orang utara.

Di Hatyai, pelbagai barangan tempatan dan cenderamata dijual dan harganya masih boleh ditawar. Antara tempat yang kami sempat singgah pada waktu petang adalah Nora Plaza (terkenal dengan produk kulit tetapi yang paling trending bagi aku adalah sabun beras dan sabu kopi), Ranu Kohyo (makanan tempatan yang terkenal bagi aku ialah seaweed BigBang ada dijual di sini tetapi tidak boleh tawar menawar kerana harganya yang paling murah),  Klonghae Floating Market (peniaga makanan berjual di dalam sampan dan yang paling menarik air dijual di dalam pasu). Pasu bukan sebarang pasu, pasu dengan corak Doraemon, bunga, dan sebagainya. Terdapat pelbagai pilihan pakaian, selipar, dan perhiasan asalkan pandai tawar menawar. Kami menginap di The Regency Hotel selama satu malam sahaja.

Klonghae Floating Market

Klonghae Floating Market

27/11/16@Phuket – Dari Hatyai, kami bertolak menuju ke destinasi seterusnya iaitu Phuket tetapi sebelum itu kami singgah di Trang Andaman Gateway untuk mengambil gambar gajah. Salah satu prinsip hidup aku adalah “Say No to Animal Cruelty”. Gajah batu ada disediakan jadi tidak perlulah bayar beratus Baht untuk menunggang gajah hidup. Selesai bergambar, kami singgah di Khanitta Cake Trang yang menjual kek asli tanpa bahan pengawet. Kek yang dijual cuma dapat bertahan selama 3 atau 5 hari dalam suhu bilik.

Trang Andaman Gateway

Trang Andaman Gateway

Kemudian, kami singgah di Le Khaokob Cave. Di sini, bayaran untuk menaiki bot adalah sebanyak 200 Baht seorang. Tiada jaket keselamatan disediakan. Jika masuk secara berkumpulan, pemandu pelancong kami cadangkan satu bot untuk 3 orang sahaja demi keselesaan kerana di dalam gua nanti kita akan disuruh menanggalkan kasut dan baring di dalam bot dengan pemandu bot sekali. Pengalaman yang paling mencabar kerana jarak antara badan kita dengan permukaan gua cuma beberapa cm sahaja (no camera, safety, I take care you – antara perkataan yang akan diulang-ulang oleh pemandu bot). Ini adalah tempat yang aku highly recommended! Jangan lupa senyum apabila ada orang mengambil gambar kita kerana sebaik sahaja keluar daripada gua, gambar kita telah tersedia dan harganya 200 Baht. Kalau tidak mahu beli pun boleh.

Hampir waktu Asar, kami singgah solat dan makan di Ruantalay. Selesai makan, kami meneruskan perjalanan ke Phuket dan sampai di hotel dalam waktu Isyak. Hotel kami berdekatan dengan Bangla Road dan Patong Beach. Kawasan tumpuan pelancong dari Eropah. Arak, muzik, tarian, dan wanita berpakaian seksi ada di sepanjang Bangla Road. Kuatkanlah iman anda jika melalui jalan ini.

20161127_155651

Ruantalay Restaurant

28/11/16@Phuket – Walaupun hotel ada menyediakan sarapan pagi, namun status halalnya masih ragu-ragu. Oleh itu, kami keluar dan bersarapan di Hawa Kitchen. Antara makanan yang paling terkenal adalah banana pancake atau roti canai pisang. Sangat sedap! Aktiviti hari ini adalah membeli-belah sahaja. Di (1) Gems Gallery, terdapat akuarium ikan dan bolehlah bergambar sementara menunggu giliran untuk mendengar taklimat berkaitan batu permata. Kita akan beratur dan duduk seperti di dalam gerabak kereta api sambil mendengar taklimat dalam Bahasa Melayu. Tayangan video juga disediakan sepanjang itu. Selesai taklimat, kita akan dibawa masuk ke dalam kawasan galeri dan melihat sendiri bagaimana cincin batu permata dihasilkan. Kemudian, barulah kita akan dibawa ke galeri cincin. Untuk jimatkan masa, minta pemandu pelancong kita untuk tunjukkan kawasan cincin yang sering dilawati oleh rakyat Malaysia kerana disitu  harga cincin lebih murah dan mampu milik. Jika saiz cincin terlalu besar, jangan risau kerana pihak galeri dapat mengaturnya dan cincin boleh diambil keesokan hari. Untuk dapatkan cincin yang cantik kena ada 3000 Baht ke atas. Kalau tidak cukup, boleh pinjam duit pemandu pelancong dulu. Hehehe…

20161128_095241

Gems Gallery Phuket

Seterusnya, kami singgah di (2) Phuket Premium Outlet sekadar cuci mata. Singgah di (3) Madunan T-Shirt untuk membeli baju T-shirt dengan kain yang berkualiti. Taklimat juga diberikan sebelum pengunjung dibenarkan memilih T-shirt. Harga yang ditawarkan 179 Baht hingga 199 Baht sehelai. Beli 3 percuma 1.  Kami makan tengah hari di Islander Restaurant tetapi sebelum itu solat Zohor di masjid bertentangan dengan restoran. Aktiviti bergambar dengan ahli keluarga diteruskan di Karon View Point. Di sini, ada Sea Eagle yang telah dilatih. Untuk mengambil gambar guna kamera sendiri kena bayar 100 Baht. Kalau guna kamera polaroid bayar 200 Baht. Destinasi seterusnya ialah (4) Big Bee Farm Phuket. Seperti biasa taklimat akan diberikan berkaitan madu, bagaimana untuk mengenalpasti madu asli dan madu gula dan khasiat madu. Produk yang dijual berjenama Thep-prasit dengan harga hampir-hampir 1000 Baht. Beli 6 botol madu 1000 g dapat percuma 2 botol madu 300 g.

20161128_171730

Thep-prasit by Big Bee

Di (5) Mook Phuket, taklimat diberikan berkaitan mutiara, jenis-jenis mutiara, bagaimana untuk mengenalpasti mutiara asli dan mutiara palsu. Pelbagai barang kemas berasaskan mutiara juga dijual di sini dengan harga 4000 Baht untuk yang berkualiti tinggi. Berbeza dengan Gems Gallery, saiz cincin mutiara tidak dapat diubah jika terlalu besar atau kecil dengan jari anda. Aktiviti akhir sekali untuk hari ini ialah melihat matahari terbenam di Sunset View Point Promtep Cape, Phuket. Makan malam di pondok buluh berhampiran Patong Beach.

29/11/16@Krabi – Selesai urusan check-out hotel di Phuket, kami meneruskan perjalanan ke Krabi. Bergambar di Island Safari Phang-Nga (bayaran untuk masuk 300 Baht kalau tidak salah tapi kami tidak masuk pun sebab budget lari dekat Phuket..huhuhu). Destinasi seterusnya menaiki bot panjang untuk melihat James Bond Island yang aku sebenarnya tidak faham kenapa terkenal sangat. Filem dulu-dulu kot. Apa-apa pun pemandangan alam sekitar Subhanallah memang cantik. Kami singgah solat di perkampungan atas air Panyee Darussalam Mosque yang terletak di Koh Panyee Phang-Nga Province. Makan tengah hari di Panyee Muteara Seafood. Selesai makan dan kembali ke darat, pemandu pelancong cuba membawa kami ke tempat yang menyediakan aktiviti menuggang gajah. Walau bagaimanapun, kami tiba lewat petang dan semua gajah telah dimandikan. Cuma dapat ambil gambar gajah sahaja.. syukur Alhamdulillah. Hampir waktu Maghrib, kami check-in hotel di The Palace Aonang, Krabi.

20161129_130336

Welcome to Koh Panyee Phang-Nga Province

30/11/16@Krabi – Aktiviti hari ini adalah menjelajah “4 Islands”. Tup Island (turun main air dan pasir), Poda Island (snorkeling), Chicken Island (cuma ambil gambar ayam dari atas bot), Phra Nang Cave Island (turun makan tengah hari, main air dan pasir). Disebabkan berlaku kemalangan yang tidak diduga, aktiviti terpaksa disingkatkan kerana ambulance sedang menunggu di Aonang Beach untuk menghantar salah seorang daripada kami ke Krabi Hospital.  Cuma satu orang doktor yang bertugas di Unit Kecemasan. Selesai urusan pendaftaran dan rawatan, aku dengan pemandu pelancong menyelesaikan urusan mengambil ubat dan mendapatkan salinan X-ray dalam bentuk CD. Lokasi yang kami kunjungi pada malam terakhir ialah Kanabnam View Seafood Restaurant & Fish Farm. Satu lagi perkampungan atas air yang sangat menarik dan untuk sampai di sini kena menaiki bot panjang.

20161130_120345

Koh Poda

1/12/16@Trang – Selesai sarapan pagi di Krabi dan bergambar di replika ketam, kami meneruskan perjalanan dan berhenti di Khanitta Cake sekali lagi untuk membeli kek. Perjalanan pulang yang terasa sangat panjang kerana tiada lagi tempat persinggahan. Sekitar jam 6 petang, kami semua selamat sampai di Pulau Pinang. Alhmdulillah…

Ringkasan: Kawasan Hatyai dan Phuket sangat bersih berbeza dengan Krabi. Untuk mendapatkan makan halal tidak sukar. Pastikan peniaga yang menjual makanan bertudung, ada kalimah Allah dan Muhammad SAW, bismillah di gerai mereka. Jika masih was-was, suruh peniaga mengucap dua kalimah syahadah. Budget makan tengah hari atau makan malam dalam 250 Baht seorang. Kalau sarapan pagi kurang sedikit. Jadi, lepas ini boleh anggarkan berapa banyak duit kena laburkan. Terdapat satu lagi kawasan tarikan pelancong iaitu Phi Phi Island. Insya-Allah panjang umur dan murah rezeki kami akan kembali lagi.

Terima kasih kepada Adam Tour kerana telah menguruskan percutian kami sekeluarga dengan baik. Untuk maklumat lebih lanjut, boleh hubungi mereka di nombor +60194403630.

P/S: Cuti-cuti pun cik misi kena check-in hospital. Huhuhu..

20161130_152913

Krabi Hospital

~ السلام عليكم ورحمة الله وبركاته ~

Advertisements

Taman Negara Similajau

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Walaupun aku dilahirkan di bandar Bintulu, hari ini merupakan kali pertama aku melakukan aktiviti riadah di Taman Negara Similajau (TNS). Perjalanan dari rumah aku ke lokasi cuma mengambil masa 10 minit. Sedikit info mengenai TNS, waktu operasi adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang (waktu rehat 1 petang hingga 2 petang). Setiap pengunjung dikehendaki untuk melapor diri di Head Quarters (HQ) dan sila tanggalkan kasut sebelum masuk ke dalam pejabat. Yuran kemasukan untuk dewasa RM10, manakala kanak-kanak berumur bawah 17 tahun dikenakan RM3. Sila sediakan wang secukupnya. Terdapat buku yang perlu diisi seperti nama, nombor kad pengenalan, bilangan peserta, destinasi yang ingin dituju, masa pergi dan masa dijangka akan kembali. Oleh kerana kesuntukan masa, aku dan 3 ahli keluarga yang lain memutuskan untuk sampai ke Turtle Beach I dan Turtle Beach II sahaja.

20150723_104018

Turtle Beach I

Jarak Turtle Beach I dari Park Station hanya 6.5km. Kami mengambil masa 2 jam untuk sampai ke destinasi. Setiap 1 km, kami mengambil masa lebih kurang 20 minit. Manakala jarak Turtle Beach II hanya 500m dari Turtle Beach I. Kami mengambil masa 5 jam 30 minit untuk pergi-balik (14km)  selepas beberapa kali berhenti berehat dan mengambil gambar. Terdapat beberapa kawasan yang tidak dapat dikunjungi kerana masih dalam proses penambahbaikan.

20150723_111144

Golden Sand

Subhanallah… pasir yang meliputi kaki pantai berwarna keemasan, laut membiru dan pohon kehijauan. Aku sudah dapat membayangkan keindahan Golden Beach yang pasti lebih menarik kerana berada jauh di dalam TNS. Jauh dari pencemaran. Suatu hari nanti aku pasti akan kembali lagi. Insya-Allah 🙂

20150723_111119

Turtle Beach II

Adalah diingatkan kepada para pengunjung untuk tidak melakukan aktiviti mandi-manda kerana arus yang sangat kuat. Ibu bapaku ada menceritakan beberapa orang mangsa telah mati dihanyut arus deras. Aku tidak pasti kesahihan cerita tersebut tetapi tidak salah untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mendengar nasihat orang tua kan. Bawa air mineral atau minuman yang secukupnya dan gunakan kasut yang sesuai. Perjalanan meredah hutan belantara sangat mencabar.

Maha Suci Allah yang menciptakan langit dan bumi.

~ السلام عليكم ورحمة الله وبركاته ~

%d bloggers like this: